Halaman

Do It Yourself : Sabun Rainbow Homemade



SABUN RAINBOW COLD PROCESS
Pernah terlihat sabun pelangi/ rainbow dijual dikedai-kedai? Cara membuat sabun rainbow tidak susah dan kita boleh buat sabun ini sendiri dirumah. Terdapat 2 cara yang digemari oleh para pembuat sabun homemade iaitu cold process dan melt n pour soap. Cold process bermaksud sabun ini menggunakan proses saponifikasi manakala melt and pour boleh dikatakan seperti sabun segera. Begini cara mudah untuk membuat sabun pelangi.

Salah satu sabun rainbow yang ada di pasaran
MENGAPA GUNAKAN CARA COLD PROCESS
Untuk pengetahuan, sabun yang dibuat melalui proses ini memerlukan masa dari 4-12minggu untuk disaponifikasikan sepenuhnya. Saponifikasi ialah proses minyak ditukar kepada sabun yang stabil sebelum boleh digunakan. Sekiranya proses saponifikasi belum lengkap sepenuhnya, lye yang masih berada didalam sabun belum hilang sepenuhnya kerana masih menukarkan molekul-molekul minyak kepada sabun. Oleh itu jika digunakan kurang dari masa 4-12minggu yang disebutkan tadi, kulit boleh berisiko untuk mengalami iritasi. Sabun cold process lebih tahan lama sehingga bertahun-tahun, oleh itu, jangan terburu-buru tetapi tunggu sehingga 4-12minggu (lebih lama lebih baik) barulah menggunakan sabun yang telah dibuat.

Sabun yang dibuat melalui proses ini lebih mudah untuk disediakan dan kita boleh membuat corak kepada sabun seperti yang kita sukai. Sabun ini juga lebih tahan lama dan kita boleh design sabun mengikut bentuk dan warna yang kita mahukan.

SEDIAKAN PERALATAN DAN BAHAN
Bahan utama membuat sabun ialah:
1) hard oil - biasanya minyak kelapa, minyak kelapa sawit, shea butter
2) soft oil - biasanya olive oil, sunflower seed oil, canola oil
3) Essential oil - pilihan sendiri seperti lavender, orange peel oil, jasmine oil
4) Lye
5) Air suling - air paip tidak digalakkan kerana mineral didalam air paip boleh mengganggu hasil sabun
Contoh peralatan yang digunakan untuk membancuh sabun
Peralatan ialah:
1) Mixer - untuk membancuh sabun
2) Bekas acuan - untuk membentuk sabun
3) Bekas adunan - untuk mencampurkan semua bahan-bahan sebelum dimasukkan kedalam acuan

FORMULA SABUN
Dari formula yang kita ada, sabun boleh menjadi lembut, keras, berbuih, dan wangi seperti yang kita mahukan. Campuran ini hendaklah tepat dan stabil supaya sabun yang dihasilkan berkualiti dan sempurna. Terdapat pelbagai website yang menawarkan info untuk formula sabun. Kita boleh gunakan soap calculator yang ada diinternet untuk menghasilkan formula sabun yang kita kehendaki mengikut kriteria yang kita mahukan.

Kita boleh gunakan sekurang-kurangnya 2 jenis minyak untuk menghasilkan sabun. Jika kita ingin hasilkan resipi sabun sendiri, banyak kajian dan percubaan perlu dijalankan untuk mendapatkan hasil yang stabil dan berkualiti. Sabun yang melembapkan sesuai untuk seisi keluarga, dan sabun yang terlalu ‘cleansing’ bole digunakan sebagai sabun mencuci pakaian. Kita juga boleh membuat sabun yang bukan sahaja untuk badan tetapi juga untuk mencuci muka dan rambut.

Disini dikongsikan satu formula mudah untuk membuat sabun pelangi dengan kadar berat 1.2liter. Bahan-bahan ialah:
1) minyak kelapa 294ml
2) Minyak kelapa sawit 294ml
3) Sunflower seed oil 252ml
4) Lye 128.7g
5) Air suling 257.73
6) Essential oil lavender 60ml
7) Pewarna mica biru, kuning, dan merah
Gunakan minyak sebagai bahan utama dan essential oil untuk mewangikan dan nutrient tambahan
Menggunakan pewangi tiruan (fragrance) tidak digalakkan kerana bahan kimia didalam fragrance mungkin menyebabkan iritasi dan alahan kepada kulit pengguna. Jika ingin menggunakan fragrance, sila ambil risiko sendiri dan sekiranya timbul iritasi pada kulit, sabun tersebut tidak sesuai untuk kesihatan kulit anda.

Bagi pewarna sabun, mica merupakan pewarna yang dibenarkan dan diluluskan dalam kosmetik. Namun mica yang dibeli hendaklah dipastikan ‘cosmetic grade’ supaya selamat untuk digunakan didalam sabun. Terdapat laporan yang diterima menyatakan mica yang terlalu halus (refined mica) menyebabkan masalah iritasi kulit dan boleh memasuki paru-paru jika debunya terhidu.
BERHATI-HATI SEMASA MENGGUNAKAN LYE
Dinasihatkan supaya membuat sabun didalam sebuah makmal atau ruang yang jauh daripada kanak-kanak. Semasa membuat sabun, air dan lye akan dicampurkan. Haba dihasilkan apabila air dan lye dicampur dan jika terkena kulit, ia boleh menghakis.
Dinasihatkan juga untuk menggunakan sarung tangan panjang dan pelindung mata dan mulut semasa mencampurkan bahan tersebut. Ruang membuat sabun juga hendaklah mempunyai tingkap yang terbuka untuk pengudaraan yang baik.

MULAKAN PROSES MEMBUAT SABUN
Air dan lye boleh dicampurkan sehari lebih awal supaya air lye tersebut sejuk semasa digunakan. Ada juga yang mencampurkan air dan lye, dan seterusnya didalam peti sejuk sebelum digunakan. Dinasihatkan supaya menggunakan peti sejuk berasingan jika ingin menyejukkan air lye kerana takut orang lain akan terminum air tersebut. Air dan lye yang dicampurkan adalah jernih seperti biasa, oleh itu sila berhati-hati dan labelkan botol yang anda gunakan supaya mudah dikenalpasti.
Tuangkan minyak dan campurkan air lye
Didalam sebuah bekas adunan, campurkan kesemua minyak dan air lye. Gunakan mixer supaya campuran ini sebati dan pekat. Kadar kepekatan yang kita mahukan ialah seperti pekat adunan semasa membuat kek. Ia dipanggil ‘trace’ dimana air lye dan minyak telah bergabung sepenuhnya dan tidak akan terpisah.
Gunakan mixer supaya tahap 'trace' dicapai lebih cepat
Apabila adunan kita telah mencapai tahap ‘trace’ kita boleh bahagikan adunan kepada 6 bahagian untuk menghasilkan sabun pelangi kita. Setiap bahagian akan dicampurkan dengan pewarna mica dan diletakkan diatas lapisan satu demi satu. Bancuhkan warna dan essential oil didalam bekas acuan secara berasingan sebelum lapisan sabun dituang. Jika ingin guna acuan yang sama, boleh dilap menggunakan tisu supaya warna sabun tidak bercampur.

TIPS MEMBUAT SABUN PELANGI (SABUN RAINBOW)
1) Pastikan bekas acuan berada dipermukaan yang rata supaya garisan pelangi sabun sekata dan lurus.

 2) Tunggu lapisan sabun dibawah menjadi sekata dan padat seketika sebelum menuang lapisan yang seterusnya.
3) Jangan tunggu terlalu lama kerana bancuhan sabun akan menjadi kental dan susah untuk dituang kedalam acuan nanti.
 4) Tuang lapisan demi lapisan dan pastikan setiap bahagian yang dituang mempunyai jumlah yang sama (200g) dan diratakan dengan baik.
 5) Apabila sabun telah dituang satu persatu mengikut turutan warna pelangi, sila biarkan sabun selama 24 jam supaya ia betul-betul padat atau keras sebelum dipotong keesokkannya.

SABUN SIAP
berhati-hati semasa mengeluarkan sabun dari acuan.
Keluarkan sabun dari acuan. Gunakan glove atau sarung tangan getah kerana sabun ini masih mengandungi lye dan proses saponifikasi masih belum lengkap.
Pemotong sabun khas seperti ini boleh dibeli secara online
simpan didalam bekas khas untuk disimpan
Selepas sabun dipotong, simpan didalam almari atau rak selama 4-12minggu untuk melengkapkan proses saponifikasi.

SABUN RAINBOW SIAP UNTUK DIGUNAKAN
Selepas proses saponifikasi telah lengkap, sabun rainbow/pelangi sudah sedia untuk digunakan. Kepada yang gemar membuat sabun sendiri dirumah, sabun cold process mempunyai kandungan nutrient yang tinggi dan bebas dari bahan kimia. Oleh itu ia selamat digunakan untuk seisi keluarga mahupun wanita mengandung, bayi dan kanak-kanak. Cubalah membuat sabun rainbow sendiri dirumah menggunakan essential oil yang diminati.

sumber gambar: arianne arsanault, youtube channel.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan